Thursday, September 23, 2010

PEMANDU TEKSI DIHUKUM GANTUNG

Ni gambar terbaru pemandu teksi yang telah dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh adik Syafiah Humaira Sahari 3 tahun.  Bandingkan gambar ini dan gambar dalam entri yang ini.  Nampak ceria dan tidak lagi menyembunyikan mukanya. Mungkin juga tertuduh redha menerima takdirnya.

kredit : Utusan Malaysia Online
Ini pula berita penuh (kredit : Utusan Malaysia Online)

SHAH ALAM 22 Sept. – Tujuh bulan selepas Syafiah Humaira Sahari, 3, mati akibat ditendang dan dipijak, pemandu teksi, Mohd. Fazli Azri Jamil hari ini dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh kanak- kanak itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohtarudin Baki memutuskan demikian hari ini selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan melalui saksi-saksinya termasuk tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes itu.

Mohd. Fazli yang menerima hukuman mati sebagai ‘hadiah’ hari lahir ke-28 tahun hari ini dilihat bersahaja sebaik sahaja mendengar hukuman itu.

Dia masih sempat melemparkan senyuman kepada ahli keluarga dan saudara-mara yang hadir mengikuti prosiding.

Ibunya, Nur Haziah Yusof, 52, bagaimanapun tidak dapat menahan kesedihan dan terus meraung sekuat hati sambil memeluk erat tertuduh sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.

“Kau tak salah, mama yang salah, biarlah mama mati,” raung wanita itu sebelum terduduk.

Suasana bertukar agak hiba apabila beberapa ahli keluarga yang lain turut menangis sambil berusaha menyedarkan Nur Haziah manakala sebahagian lagi saling mententeramkan antara satu sama lain.

Mohd. Fazli semasa dibawa keluar dari bilik bicara sempat menoleh ke arah petugas media sambil tersenyum dan berkata dengan nada sinis; “Terima kasih wartawan semua, terima kasih.”

Sementara seorang adik lelaki tertuduh memarahi jurugambar-jurugambar media serta memberi amaran agar tidak cuba merakamkan gambar ibunya yang sedang dipapah keluar.

Terdahulu, Mohtarudin berkata, penilaian secara maksimum beliau terhadap keterangan pembelaan mendapati cerita yang mendakwa mangsa jatuh dan kepalanya terhantuk di dinding tandas pada pagi hari kejadian tidak pernah ditimbulkan sebelum ini.

Katanya, kejadian itu tidak pernah dimaklumkan tertuduh kepada sesiapa yang dikenalinya, begitu juga dakwaan bahawa mangsa muntah-muntah selepas diberi ubat yang dibeli dari sebuah kedai jamu.

“Keterangan pakar patologi dan seorang lagi doktor mengesahkan bahawa kecederaan yang dialami mangsa tidak selari dengan kecederaan akibat jatuh daripada motosikal atau jatuh di tandas. Malah, cerita yang diberitahu adalah berbeza,” katanya.

Menurut Mohtarudin, fakta Mohd. Fazli mampu memandu teksi ke padang bola sepak dan memandu pulang ke rumah tidak konsisten dengan keadaan orang mabuk selain keterangan empat saksi pendakwaan jelas menunjukkan tertuduh adalah waras.

Katanya, kegagalan pihak pembelaan menyoal balas saksi-saksi itu tentang keadaan Mohd. Fazli semasa berada di padang bola sepak dianggap sebagai penerimaan fakta walaupun tertuduh mendakwa tidak ingat apa-apa selepas mengambil ganja dan dua botol minuman keras.

“Kedudukan undang-undang adalah jelas bahawa mabuk atau khayal secara sengaja atau akibat perbuatan sendiri tidak dianggap sebagai pembelaan.

“Perbuatan tertuduh menghempas pintu teksi, memijak mangsa dengan kasut bola tidak boleh diterima sebagai satu perbuatan yang tidak ada niat untuk membunuh,” katanya.

Mohtarudin turut mengucapkan terima kasih atas kerjasama pihak pendakwaan, pembelaan serta semua yang terlibat kerana dapat menyelesaikan perbicaraan kes tersebut dalam masa yang singkat.

Mohd. Fazli didakwa membunuh Syafiah Humaira di sebuah padang bola sepak, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali dekat sini pada pukul 6.30 petang, 25 Februari lalu.

Dia yang diwakili peguam Gurbachan Singh dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani, Hanim Mohd. Rashid dan Zureen Eina Mohd. Dom.

Sejak kes itu dibicarakan mulai 7 Jun lalu, 33 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan. Sementara pihak pembelaan menampilkan tiga saksi termasuk Mohd. Fazli yang memberi keterangan dari kandang tertuduh.

Sementara itu, ibu Syafiah Humaira, Siti Nurhanim Aziz, 25, yang juga teman wanita tertuduh semasa ditemui pemberita memberitahu, dia tidak dapat menerima keputusan itu.

“Saya tidak pernah marah dengan Fazli kerana dia tidak bersalah dan dia tidak ada niat untuk membunuh Syafiah. Saya tetap sayangkan Fazli kerana dia seorang penyayang dan dia sayangkan Syafiah,” katanya.

Syafiah Humaira merupakan anak kedua Siti Nurhanim, hasil perkahwinannya dengan seorang anggota polis, Sahari Usul yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh bagi kesalahan membunuh.

Siti Nurhanim juga mempunyai seorang anak bersama tertuduh, Shakimie Iqbal.

p/s 
~ tertuduh hanya selamba dan masih mampu tersenyum walaupun hukuman mati dijatuhkan tapi ibunya pula yang pengsan ~ kasihnya ibu tidak bertepi ................
~  ibu Syafiah Humaira pula tidak dapat menerima keputusan tertuduh dihukum mati dan juga tidak rasa marah pada tertuduh yang telah menyebabkan kematian anaknya sendiri sebab sayangkan tertuduh ..... ?????
~ Syafiah Humaira tempat mu di syurga

1 comment:

  1. eiii ibu ape la ..ade ke kata pembunuh anak tak besalah..mengong hape, bek takyah jadik ibu la kan lau sanggup kua kata2 camtu..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...